Blogger Templates
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Friday, October 8, 2010

.:Berbuat Baik Terhadap Isteri: Hak Yang WAJIB Ditunaikan Suami:.

Salam..lamanyer tak update blog..rindu pulak rasanya..to olz my dear followers yg tak tau, here i'd like to annouce yg i've been married to mr. bard pada 18th september yg lalu..lebih kurang 2 mggu lebih dah melayari bahtera rumahtangga nie..baru sesangat..(^_^).. erm, entry harini pun i nak share 1 article yg i've read dis morning..tajuknyer seperti yg ada kat atas tu..so interesting..enjoy reading guys...
Hukum Mendatangkan Mudarat Kepada Isteri

Haram hukumnya suami mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa ada sebab-sebab yang hak, kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Manakala melakukan kezaliman adalah haram, kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim. Jika mendatangkan mudarat kepada orang lain dihukumkan haram maka adalah lebih utama pula larangan tersebut kepada isteri kerana syariat telah berpesan kepada para suami untuk menjaga isteri dan bergaul dengan cara yang baik.

Mudarat yang dilarang dilakukan kepada isteri terbahagi kepada:
i. Mudarat fizikal. Contohnya, memukul isteri.
ii. Mudarat yang bukan fizikal. Contohnya, mengeluarkan perkataan yang tidak baik kepada isteri.

Larangan mendatangkan mudarat kepada isteri banyak disebutkan di dalam al-Qur’an. Antaranya dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“…Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘). Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah: 228)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa adanya hak isteri ke atas suami seperti mahar, mencukupkan nafkah, tidak melakukan mudarat kepada isteri dan yang seumpamanya. Selain daripada itu, suami yang menthalaq isterinya juga dilarang memudaratkan isteri yang dalam ‘iddah dengan kembali (ruju‘) kepada isteri apabila tempoh ‘iddah hampir selesai dengan tujuan untuk mendatangkan kesusahan atau mudarat kepada isteri. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

“...Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh eddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju‘) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (ruju‘ semula) dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri.”
(Surah al-Baqarah: 231)

Ayat tersebut melarang suami yang berniat untuk memberi mudarat kepada isteri. Suami yang menthalaq isteri diperintahkan sama ada kembali (ruju‘) kepada isteri tanpa ada tujuan untuk memudaratkan atau melepaskan isteri sehingga selesai ‘iddahnya.

Di dalam kitab ‘Aunul Ma‘bud syarh Abi Daud, diterangkan mengenai hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan mengenai dengan suruhan memberi makan dan pakai kepada isteri serta larangan memudaratkan isteri.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanyakan mengenai dengan hak isteri ke atas seorang suami. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

“...Hendaklah kemu memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian atau kamu beroleh penghasilan, dan janganlah kamu memukul muka (isteri), jangan memburuk-burukkannya dan jangan memisahkan diri dari mereka kecuali di dalam rumah.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits tersebut melarang memukul isteri pada muka kerana muka merupakan anggota yang penting dan zahir dilihat. Begitu juga dilarang suami mengeluarkan perkataan tidak baik kepada isteri, tidak mengeji serta memaki isteri. Seandainya isteri nusyuz suami janganlah berpindah ke rumah lain (meninggalkan isteri), kerana yang dimaksudkan bagi isteri yang nusyuz adalah dipisahkan tempat tidurnya iaitu tidak tidur bersama-sama.

Memudaratkan isteri secara fizikal seperti menampar, memukul, menyepak isteri adalah dilarang kerana perbuatan seumpama ini amat jauh dari konsep pergaulan baik suami isteri sebagaimana yang dituntut syara‘.
Jikapun isteri melakukan kesalahan, suami diperintahkan untuk menasihati isteri kerana mungkin dengan nasihatnya isteri akan sedar akan kesalahan yang dilakukan. Menasihati isteri kerana kesalahan yang dilakukannya ada disebutkan dalam perkara isteri nusyuz. Sunat seorang suami menasihati isterinya yang nusyuz dan memujuk isteri dengan cara mengambil hati, umpamanya dengan memberikan sesuatu. Suami dibenarkan memukul isteri yang nusyuz hanya setelah nusyuz isteri jelas berterusan (setelah suami menasihati dan memisahkan tempat tidurnya).
Cara memukul yang dibenarkan oleh syara‘ pula ialah pukulan yang tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada muka atau pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera. Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Sebagai Suami Mithali

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan suami mithali yang patut dicontohi. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits yang diriwayatkan dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

“...Sebaik-baik (manusia) antara kamu adalah yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik kepada keluargaku daripada kalangan kamu.”
(Hadits riwayat Ibnu Hibban)
Pergaulan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama dengan isteri-isterinya adalah pergaulan baik yang sentiasa penuh dengan kemesraan, antaranya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bergurau senda dengan keluarganya, bersikap lemah lembut terhadap mereka dan mengagihkan nafkah sebagaimana yang diperintahkan syara‘ kepada para suami. Inilah antara pergaulan baik Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama isteri-isteri Baginda yang patut dicontohi oleh para suami.
Sebagai kesimpulan, seorang suami bertanggungjawab memelihara hak-hak isteri yang diamanahkan oleh syara‘ ke atasnya. Antaranya berbuat baik kepada isteri kerana ia berupa perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada kaum lelaki. Selain itu juga, suami tidak boleh mencuaikan nafkah isteri, kerana dengan mengabaikan pemberian nafkah tersebut, suami bukan sahaja telah melanggar apa yang diperintahkan oleh syara‘ bahkan perbuatannya akan mendatangkan kesusahan kepada isteri. Yang jelas, Islam amat menitikberatkan soal hak dan sama sekali tidak membenarkan suami mengabaikan hak-hak isteri.

2 comments:

  1. congratz ann!!sori x dapat hadir hari tue...semoga berbahagia ke akhir hayat ye...=)

    ReplyDelete
  2. thanks for d wish, mas..ann pun sentiasa mendoakan semoga perkahwinan ann ni berbahagia ke akhir hayat..amiinn..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails